Friday, April 1, 2016




Umum mengetahui bahawa gigi berlubang adalah masalah yang paling kerap dihadapi oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak di Malaysia. Sayangnya, ramai ibu bapa mempunyai persepsi bahawa adalah normal bagi kanak-kanak untuk mempunyai gigi berlubang dan gigi susu tidak perlu ditampal kerana ia akan diganti oleh gigi kekal. Ini adalah tanggapan yang salah sama sekali. Sebenarnya gigi susu untuk kanak-kanak adalah sangat penting dan sama pentingnya seperti gigi kekal untuk orang dewasa. Struktur gigi susu biasanya lebih nipis berbanding gigi kekal oleh itu lubang lebih cepat merebak berbanding gigi kekal. Oleh yang demikian, gigi susu yang berlubang juga perlu ditampal dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
Gigi susu mula terbentuk seawal enam minggu bayi di dalam kandungan ibu (intra-uterine) dan gigi susu pertama biasanya mula tumbuh apabila bayi berusia kira-kira 4 hingga 6 bulan. Gigi susu ini amat penting kerana ia digunakan untuk kanak-kanak mengunyah, bercakap, estetik, dan yang paling utama ialah untuk mengekalkan ruang bagi gigi kekal tumbuh kelak. Gigi susu yang berlubang perlu mendapat rawatan yang sewajarnya daripada doktor gigi. Lubang yang sangat kecil boleh dirawat melalui rawatan pencegahan seperti rawatan fluoride dan pengapan fisur (fissure sealant), manakala lubang yang lebih besar perlu ditampal.
Sekiranya gigi berlubang tidak dirawat, lubang ini akan menjadi lebih besar dan merebak ke bahagian saraf gigi (pulp) dan boleh menyebabkan jangkitan dan bengkak gusi. Sekiranya ini terjadi, rawatan yang lebih kompleks diperlukan iaitu rawatan akar ataupun cabutan bagi mengelakkan kerosakan kepada gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang kanak-kanak berkenaan. Cabutan gigi susu yang terlalu awal boleh menyebabkan kesesakan pada rahang akibat pergerakan gigi dan akhirnya boleh menyebabkan tiada ruang yang secukupnya untuk gigi kekal tumbuh. Jika ini berlaku, gigi kekal yang tumbuh akan berlapis dan kanak-kanak ini mungkin memerlukan rawatan ortodontik contohnya braces untuk membetulkan kedudukan gigi kekal berkenaan dan sebagaimana yang kita maklum rawatan ini bukanlah murah. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita boleh mengelakkannya daripada terjadi.
Gigi kekal yang berlapis juga terdedah kepada risiko berlubang kerana kesukaran untuk membersihkan permukaan yang berlapis itu. Selain itu, gigi susu yang berlubang terutamanya gigi hadapan boleh menyebabkan kanak-kanak berkenaan mempunyai ‘self-esteem’ yang rendah kerana mereka juga berasa malu untuk tersenyum atau bercakap dengan gigi yang berlubang dan berwarna keperangan atau kehitaman. Ini pastinya boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak tersebut.

No comments:

Post a Comment